TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
.
Di dalam usia 31 tahun (1938), masa darah muda masih cepat alirannya dalam diri, dan khayal serta sentimen masih memenuhi jiwa, pada waktu itulah 'ilham' Tenggelamnya Kapal van Der Wijck ini mula kususun dan dimuat berturut-turut dalam majalah yang kupimpin. Sebab itu ianya diterbitkan menjadi buku. Belum berapa lama tersiar, ianya pun habis. Ramai pemuda yang berkata: "seakan-akan tuan menceritakan nasibku sendiri". Ada pula yang berkata: "Barangkali tuan sendiri yang tuan ceritakan".
.
Sesungguhnya bagi seorang golongan agama, Mengarang sebuah buku roman, adalah menyalahi kebiasaan yang umum dan lazim pada waktu itu. Dari kalangan agama, pada mulanya, saya mendapat tantangan keras. Tetapi setelah sepuluh tahun berlalu, dengan sendirinya heninglah serangan dan tantangan itu, dan kian lama kian mengertilah orang apa perlunya kesenian dan keindahan dalam hidup manusia.. HAMKA.


UNIVERSITI KEDUA
.
Kassim Ahmad telah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) pada November 1976 hingga Julai 1981. Buku ini, Universiti Kedua - Kisah Tahanan di Bawah ISA - adalah serangkaian catatan dari pengalaman Kassim Ahmad sendiri. Iaitu pengalaman apabila beberapa orang pegawai polis berpakaian preman datang mengamambilnya, pukul 2.30 pagi, 3 November 1976, di sebuah rumah di Petaling Jaya hingga dia dibebaskan menjelang Hari Raya Haji dalam bulan Julai 1981.
.
"Tidak banyak orang boleh menjadi penulis; lebih banyak orang boleh menjadi menteri." Itulah kata-kata Heikal, Wartawan Mesir terkenal, yang wajar untuk dihubungkan dengan keadaan Kassim dan bukunya ini.Penulis akan tetap juga di sana, kerana penulis bukan jawatan. Dan memang tidak banyak orang boleh menjadi penulis, terutama kalau ukuran seorang penulis adalah orang semacam Kassim.
.
Kassim dengan keistimewaannya sendiri telah menghasilkan buku ini sebagai dokumen kemanusiaan dan fakta sejarah. Juga Kassim telah membuktikan bahawa ia tidak seperti sehelai kertas yang terbuang tanpa guna, setelah dibebaskan. Akhir sekali kami mohon ingatan dari pembaca bahawa, betapa pun buku ini adalah merupakan rakaman seorang penulis - yang sensitif tentunya - dari dunia intelektual kita. Inilah yang justeru menyebabkan Media Intelek bersedia menerbitkannya1 Jun 1983.


BAITULLAH KE NABILAH
.
Sebanyak 116 buah cerpen telah menyerta Hadiah Sastera Berunsur Islam V tahun 1993, dan 10 cerpen terbaik terpilih untuk dimuatkan dalam antologi Baitulah ke Nabilah. Tema yang dikemukakan pada kali ini lebih menampakkan kedewasaan, tidak lagi menonjolkan nilai Islam secara khutbah, tetapi disalut dengan nilai seni yang tinggi secara implisit. Kelemahan kecil dari segi kefahaman terhadap perwatakan dan teknik penceritaan tidak pula menjejaskan nilai estetikanya terutama dari sudut gaya bahasa yang mengesankan. Plotnya sesuai dengan suasana cerita yang terbatas dan banyak menggunakan teknik dialog, monolog, pemikiran dalaman, ingatan, imbas kembali, imbas muka, dan arus kesedaran. Cerpen-cerpen yang disajikan membawa pelbagai macam persoalan yang menyentuh alam pendidikan, kepercayaan animisme, berjihad secara fizikal dan jiwa, berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, dan kesetiaan kasih sayang. Semuanya memberi gambaran bahawa dunia pemikiran dan kebaikan itu tidak terbatas luasnya.
.
Hadiah sastera berunsurkan Islam anjuran bersama Yayasan Pelajaran Islam dan Dewan Bahasa dan Pustaka telah dilancarkan dengan rasminya oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1987. Tujuan utama dianjurkan peraduan ini ialah untuk memberi penghargaan kepada karya-karya sastera yang berjaya menampilkan keperibadian realiti manusia yang menggalakkan kesedaran tentang fungsinya sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T.

SUARA DARI LEMBAH
.
Wan Yusof Hasan mewakili suara resah gelisah dan berontak angkatan muda. Kehidupan yang digarap di dalam karya-karyanya bukan sekadar cebisan sebuah sandiwara tetapi sebuah rantaian peristiwa yang hidup dan meyakinkan. Tidak ada yang indah di dalam kepalsuan, tidak ada yang murni di dalam kepura-puraan, tidak ada yang mengaibkan di dalam menyatakan kebenaran. Demikianlah cerpen-cerpen penulis muda berbakat besar yang terkumpul di dalam kumpulan ini meneroka kehidupan manusia di maya hari ini, mencari bibit-bibit kejernihan di tengah kekacauan dan percikan kebenaran dan kemurnian di tengah kekalutan.Anda tidak seharusnya melepaskan peluang membacanya!

"Mimpi Panjang Seorang Penyair"



..Seorang penyair harus mencintai semua umat manusia agar dapat"melihat di sebalik yang kelihatan"..

..dan lagi penyair harus memadukan alam fenomena dirinya dengan makna hakiki agar sentiasa menyanjung kebesaran Ilahi Rabbi..
-Masuri S.N-

MIMPI PANJANG SEORANG PENYAIR
.
Masuri S.N. dan puisi Melayu moden boleh dikatakan sinonim. Jika memperkatakan puisi Melayu, pasti nama Masuri S.N. akan terpantul, dan sebaliknya kalau kita menyebut Masuri S.N. tentulah dengan cepat kita menghubungkannya dengan puisi Melayu.
.
Apabila memperkatakan Masuri S.N. memang tak dapat dielakkan dari pada membandingkannya dengan Usman Awang. Usman disebut-sebut sebagai penyair Melayu yang kaya dengan alunan romantisme Melayu tetapi Masuri S.N. membawa sudut yang lebih dinamik, kesungguhan dan percubaaanya menapis kata-kata dalam bait yang berfilsafat. Kecenderungan Masuri mengungkap sedemikian menyebabkan pembaca harus bersedia dengan lebih baik sebelum mencuba menghuraikan maksud yang dibawa oleh sajak-sajaknya. Namun begitu ada beberapa buah sajaknya sudah menjadi mainan bibir seperti
.
"Ini Nasi yang Kusuap","Seribu Harapan","Dharma"."Kota Singaku",dan"Tiada Peduli". Puisi ini juga sering menarik pengkaji puisi Melayu.

-Mengenali-Mu, Ya Allah-
Masuri S.N.

.
Mengenali-Mu, ya Allah
rasa-rasanya makin merindu
yakin - itu sudah tidak pernah
aku tanyakan pada diriku
kepada kalbuku
.
kerana sejak aku tahu
mengenal kehidupan
ketika masih belum mengaji
mukadam dan al-Quran
aku sudah diberi kenal
ada bintang,
ada bulan dan matahari
dan awan ada yang menjadikan;
.
begitu aku terasa
tanpa bertanya
aku ingin makin mendalam
sudah kuterima kenyataan
bahawa alam jagat dan seluruh makhluk ini
ada yang menjadikan
.
ciptaan-Mu-,
Tuhan Maha Pengasih Maha Penyayang.
.
berulang-ulang
dalam hidupku diberi nafas
berterusan menghayati nikmat
makan minum dan tidur berehat
maka dadaku penuh mengingati
nama-Mu- sentiasa di bibirku
dan degup jantungku
sentiasa mengingati-Mu
adalah tandaku dalam ikatan-Mu.
.
maka apabila aku diberi hayat
di alam jagat-Mu
bergerak, bekerja mencari makan
dan bergaul dengan insan dan umat-Mu
nama-Mu terasa terus
menjadi sebutan degup hatiku;
Dan apa dan bagaimana
dan di mana aku berada
aku sentiasa dikurniai
inayah-Mu, ya Allah
maka aku sentiasa mengingati-Mu.
.
maka dalam berteriak
untuk apa
untuk bagaimana
aku tiba-tiba saja
seperti digerak
oleh satu kuasa
menyentuh dalam kalbuku:
maka aku menjadi terkelu
mati teriak sorakku
kerana nafasku
terasa tinggal satu, satu.
.
maka tahu aku ya Allah
lonjak dan sorak
gelak dan teriak
bisa sekali lenyap
dalam satu helaan nafas:
ketika dalam kealpaan
menghayati dalam kefanaan.


DI HADAPAN PULAU
.
Seperti novelnya Salina dan Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau menggambarkan kehebatan dan keburukan kesan peperangan kepada jiwa manusia yang mengalaminya.Watak-watak seperti Aziz, Afidah, Jiyah, Taksiah, Dorani, Syed Fikri dan lainnya memperlihatkan betapa dasyatnya bahana perang kepada manusia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah dan untuk bernafas dalam suasana hidup yang penuh kemelut dan tidak menentu.
.
A. Samad Said berjaya melukiskan kembali secara terperinci zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1940an menerusi watak-watak ciptaanya. Pelbagai ragam hidup manusia semasa perang sama ada mementingkan diri sendiri dan membelakangan kepentingan umum, atau yakin kepada ajaran agama tetapi resah gelisah menghadapi corak hidup masa depan digambarkan dengan berkesan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said menerusi novel Di Hadapan Pulau ini.

BOSNIA


Bosnia: Saksian Sah Jenayah-Jenayah Perang; Dari Mulut Mereka Yang Pernah Menjadi Mangsa
.
"...Apabila Empayar Othmaniah diperluaskan sehingga ke kawasan Balkan dan Eropah Tengah, Orang Islam Bosnia tingal di banyak negara jiran: di Serbia, di timur laut, barat dan sepanjang pantai Montenegro hari ini, di Slavonija, Lika, Krbava, Dalmatia, dan Hungary. Perlu ditegaskan disini bahawa Empayar Othmaniah sebagai negara Islam tidak pernah melakukan sebarang jenis penghapusan sama ada secara fizikal atau darisegi agama terhadap negara yang dijajahnya. Malah dalam banyak segi, tanah jajahannya sering melibatkan diri dalam sistem ekonomi, pertahanan dan pentadbiran Empayar Othmaniah sambil mengekalkan agama dan budaya asal mereka..."
.
Ini adalah keterangan daripada mereka yang pernah menjadi mangsa dan penderitan mereka amat meruntun kalbu. Bagi yang terkorban, kesengsaran mereka akibat kekejaman orang Serb, turut terkubur dan dibawa ke alam baqa, mudah-mudahan roh mereka damai kini. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas mereka yang menjadi mangsa, sama ada yang disanjung atau tidak, dan kepada keluarga mereka yang turut merasai penderitaan yang dizalami.
.
Orang Serb yang kini sanggup merogol, menyeksa, membunuh, menjarah dan membakar hidup-hidup sesama manusia, sebelum ini merupakan jiran tetangga. Apa yang dapat kita suarakan bersama apabila berhadapan dengan kecacatan jiwa manusia seperti ini hanyalah, "Aku telah bersemuka dengan musuhku, dan disebalik topengnya aku melihat diriku sendiri".
.
Penghormatan yang kita beri terhadap keberanian rakyat Bosnia ini, harus dijadikan satu tanggungjawab oleh setiap seorang daripada kita untuk menyingkirkan dari dalam diri kita, keupayaan melakukan keganasan dan kezaliman yang sadistik antara sesama manusia.
.
Hidup Rakyat Bosnia yang berani!!!
.
ALIJAH GORDON
11 Jun, 1993


ESOK YANG DILUPAKAN
.
Dedikasi buat anak-anakku: dalam hidupmu, fikirkan hari esok.
.
Esok yang dilupakan mengisahkan suka duka kehidupan masyarakat nelayan di Kg. Air Penyengat, Sabah yang dilanda wabak kemiskinan dan pelbagai masalah sosial ekonomi yang menggencatkan pembangunan. Kehidupan masyarakat nelayan ini bergantung kepada kerja-kerja menangkap ikan di Laut Sulu dengan menggunakan kapal yang dibeli secara berhutang dari Tauke Seng Hiap di kampung itu. Kapal yang mereka gunakan itu bocor dan tenggelam di laut. Mereka terpaksa menjual tanah dan menggadaikannya kepada Tauke Seng Hiap untuk membayar hutang mereka. Sedikit demi sedikit tanah-tanah di kampung itu terlepas ke tangan orang asing.
.
Tanah-tanah kampung yang dijual kepada Tauke Seng Hiap untuk membuka ladang kelapa sawit mencetuskan pelbagai masalah sosioekonomi yang hanya diketahui dengan membaca sendiri novel yang berunsur futuristik dan mengangkat masalah semasa bangsa Melayu.
.
Penulis novel ini, Abu Naim Kassan bertugas sebagai guru di Kota Tinggi, Johor dan pernah mengajar di Sabah untuk beberapa tahun. Bidang penulisannya meliputi novel, cerpen, drama dan esei. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan novel Hati Terpaut di Kinabalu(novel remaja) dan Aku Anak Desa(novel kanak-kanak).



MERANTAU KE DELI
.
"..O, bang! Banyak.. banyak sekali yang teringat olehku. Kian lama saya menangis, kian banyak yang terupa, sehingga air mataku jatuh tak tertahan-tahan. Pertama sudah terbayang-bayang di muka saya bagaimana kesengsaraan yang akan kita tempuhi, yang berat dan ringanya akan terpikul di atas abang sendiri. Akan sanggupkah abang beristeri seorang lagi? Bukankah menurut adat kampung halaman abang sendiri,.. seorang lelaki ke mana pun dia merantau, maka hasil pencariannya mesti ditumpahkannya di muka isterinya. Hawa nafsu orang kampung mesti abang cukupkan, apa lagi hawa nafsu isteri sendiri. Dia meminta sawah dan rumah, meminta perkakas gelang dan perhiasan-perhiasan yang lain. Dan dia tidak akan tahu dari mana abang memeras tenaga untuk keperluannya itu. Selama ini isteri abang hanya adinda seorang, adinda tidak mengharapkan senang atau harta benda abang. Berilah adinda sehelai selimut penutup badan, berilah sepertegak kain penutup tubuh, beroleh nasi setempurung pagi setempurung petang, cukuplah itu sudah bagiku. Tetapi kalau abang beristeri seorang lagi, apalagi dia lebih muda, sekampung pula, abang akan sengsara, percayalah!.."


HARGA SEBUAH KEMATIAN
.
Harga Sebuah Kematian menghimpunkan 16 buah cerpen yang konvesional dan separa konvensional dengan mengemukakan beberapa gagasan yang dihubungkaitkan dengan kehidupan sezaman dan kemungkinan masa hadapannya. Antara lain gagasan itu menyingkap hal-hal keagamaan yang berhubungan dengan kematian, konflik dalam kehidupan kekeluargaan, gejolak dan kerenah dalam dunia politik, dan perilaku insan tertentu yang bertindak dalam upaya mereka untuk mencapai matlamat hidup yang diimpikan. Pengarangnya pula mempunyai gaya yang tersendiri dalam menghantar kritikan-kritikan sosialnya. Justeru kita dapat rasakan nada sindirannya yang tajam, terkadang sinis dan saling berbaur dengan unsur humor. Kehadiran kumpulan ini akan memperlihatkan ketrampilan pengarangnya menangani subjek dan komposisi ceritanhya.
.
Johor Darul Takzim tidak sunyi daripada mengenengahkan penulis-penulis muda yang bukan sahaja aktif berkarya tetapi juga punya masa depan yang cerah dalam dunia penulisan dan kesusasteraan. Antaranya termasuklah Gunawan Mahmood yang memenangi hadiah beberapa sayembara penulisan di Malaysia.
.
Gunawan Mahmood dilahirkan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 29 Januari 1959 dan dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor.Beliau mula melibatkan diri dalam dunia penulisan apabila melihat orang tuanya banyak membaca dan banyak mengumpul buku-buku Indonesia. Dari situ minatnya terhadap sastera mulai tersemai secara tidak langsung.


SUATU SUBUH YANG BENING
.
Suatu Subuh yang Bening memuatkan 25 buah cerpen hasil karya 25 orang penulis terkemuka. Para penulis ini mewakili setiap zaman dalam perkembangan cerpen tanahair dari tahun-tahun lima puluhan hingga tahun-tahun lapan puluhan. Cerpen-cerpen dalam antologi ini disusun mengikut kronologi zaman para penulisnya sendiri. Tema-tema yang berunsurkan keagamaan, kemanusiaan, kemasyarakatan, moral, perjuangan, perpaduan dan sebagainya terdapat dalam cerpen-cerpen yang dipersembahkan. Watak-watak yang dipaparkan mewakili semua kaum. Bahasa yang digunakan jelas dan sesuai sebagai bahasa kreatif.
.
Ditinjau dari sejarah pertumbuhan dan perkembangannya, cerpen sebagai satu genre dalam kesusasteraan Melayu moden, bermula sejak tahun 1920 lagi. Nor bin Ibrahim(Madrasi) merupakan penulis pertama yang menghasil dan memperkenalkan bentuk cerpen dalam kesusasteraan Melayu moden. Cerpen yang dihasilkannya itu berjudul "Kecelakaan Pemalas", disiarkan dalam majalah Pengasuh (Jil. 2. 40, 4 Februari, 1920). Sejak itulah genre cerpen berkembang dengan pesat dan mendapat perhatian yang menggalakkan dari setiap kalangan masyarakat, sama ada dari pihak penerbit, pengarang mahupun pembaca atau peminatnya.

SYAHDU


SYAHDU
.
Syahdu menghimpunkan sepuluh buah cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam IV, anjuran bersama Yayasan Pelajaran Islam dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1992. Sebanyak 145 buah cerpen hasil karya 108 penulis telah menyertai peraduan ini dan hampir keseluruhnya bertemakan pengajaran Islam yang mencakupi masalah moral, ketuhanan, pengorbanan, kesabaran, pemikiran, ibadah, perjuangan Islam, kesetiaan suami isteri, soal muamalat, soal munakahat, keimanan, kerohanian dan masalah psikologi dalam kehidupan.
.
Kesemua cerpen dalam antologi ini merupakan cerpen yang terbaik dipilih oleh panel penilai dan telah menunjukkan kemantapan dari segi teknik penyampaian, stail, sudut pandangan dan latar. Cerpen-cerpen ini telah memberikan sumbangan besar kepada cita-cita Islamiah, sesuai dengan kabangkitan Islam di seluruh dunia.

SAHABAT



SAHABAT
.
Hadiah Sastera Malaysia adalah satu anugerah terhadap karya-karya yang tinggi nilainya berbanding dengan hadiah-hadiah sayembara dan peraduan sastera yang lain. Dari sejumlah 2,160 buah cerpen yang diterbitkan di pelbagai majalah dan akhbar sepanjang 1982-83, pihak panel akhirnya bersetuju memilih 16 buah cerpen sebagai layak untuk diberi hadiah. Masing-masing cerpen ini mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri, baik dilihat dalam aspek isi mahupun teknik. Pemenang-pemenangnya ialah: "Peti" (Kemala), "Sahabat" (Anwar Ridhwan), "Sasaran" (Anwar Ridhwan), "Menjadi Tua" (Baharuddin Kahar),"Sebuah Pinis" (Rahman C.M) "Gema Gong" dan "Rebana Rodat" (Razak Mamat), "Nenek" (Zurinah Hassan),"Rumah di Tepi Sawah" (Shahidan Md. Noh),"Tulang Pekasam Ikan Puyu" (Azizi Haji Abdullah),"Sempena Ganja Iras" (Baharuddin Kahar),"Mahar Asmara" (Fatimah Busu),"Tandan Tua" (Ramli Daud),"Tiruselvam" (Azizi Haji Abdullah),"Detik Pertemuan" (Mana Sikana) dan "Dilema Pengayuh Beca" (Ronizaman).


SELUANG MENODAK BAUNG
.
Karya Klasik ModenKlasiknya sebuah karya diukur dengan zaman atau masa. Lebih daripada itu: persoalan, fikiran, ketukangan dan mutulah yang terutama menentukan klasik tidaknya karya itu. Karya Klasik Moden wadah karya sastera yang utuh, mapan, berusia sekurang-kurangnya 15 tahun. Karya klasik ialah karya besar, justeru penting sekali didokumentasi untuk tujuan bacaan dan kajian, juga sebagai kenang-kenangan.
.
Dalam arus pembangunan, Terenas cicir Terenas berpenghuni fakir kedana siksa di asak kemiskinan harta yang ada cuma santun melulu dan percaya buta Terenas kecil berpenghuni kecil bangun menuntut hak yang diremehkan.Cerita seluang menodak baung cerita perjuangan menodak jahil, menyiah mundur.


SINAR DI HORIZON NIL
.
"..Nadyina Ain menyalahgunakan kebebasan yang di berikan oleh keluarga angkatnya. Usia remajanya dicemari dosa dan noda. Mengapakan kita melakukan kemungkaran? Mungkinkah kejahilan terhadap hukum agama, ataupun kejutan budaya asing yang meracuni fikiran sebilangan besar generasi muda atau tua di Mesir ketika itu? Apakah kesudahan Nadiya Ain? Jawapannya ada pada salah sebuah cerpen dalam antologi 'Sinar di Horizon Nil'. Antologi cerpen 'Sinar di Horizon Nil' menyajikan 21 buah cerpen dengan pelbagai tema garapan siswa dan siswi Al-Azhar, Mesir yang berbakat. Pelabagai persoalan dan permasalahan sejagat yang menyentuh isu politik semasa, ekonomi, sosial agama, budaya dan sebagainya dipersembahkan dengan cukup menarik dan bertenaga.."
.
"Sama-samalah juga kita berdoa agar semua penulis yang terlibat dalam antologi cerpen ini khususnya dan penulis-penulis yang masih bertapak di bumi anbia amnya bersikap optimis dan terus beristimrar dalam arena penulisan kreatif yang berunsur Islam demi memartabatkan lagi penulisan Karya Kreatif Islam. Hanya golongan ini mempunyai warisan thaqafah yang bertepatan dan mempunyai peluang yang terbuka luas untuk merealisasikan hasrat murni berkenaan.Sekali lagi suka untuk mengungkapkan kata-kata bahawa sesuatu perubahan itu tidak akan berlaku jika kita tidak memulakan langkah daripada satu titik untuk terus menyambung dan membina titik-titik yang seterusnya. Mana yang baik kutiplah sebagai mutiara teladan dan perkara yang di sebaliknya jadikanlah sebagai anak watan yang cintakan sastera Islam khususnya dan bukannya satu sangahan. Bersama-samalah kita mengorak langkah baru yang optimis lagi dinamis"
.
Catatan dari: Noor Kartina Hj Awang, Rosdi Abdullah.

WIRA BUKIT


WIRA BUKIT
.
"..Kita memilih pemimpin yang menggunakan pengaruh untuk rakyat bukan menggunakan rakyat untuk pengaruh.."
.
Begitulah antara dialog yang ditemui dalam Wira Bukit. A.Samad Said secara halus dan sinis mengajak kita melihat wajah sendiri dalam hubunganya dengan politik semasa yang kadang-kadang digunakan oleh orang-orang tertentu untuk kepentingan peribadi. Di samping unsur-unsur patriotik yang mengesahkan perjuangan menuntut kemerdekaan, drama ini juga membawa kisah cinta yang menyayat hati.Kisah penuh misteri tentang kepulangan seorang lelaki, Zahdi, ke tanahair. Zahdi bukan sahaja meninggalkan tanahairnya tetapi juga meninggalkan seorang gadis yang pernah dicintai..

Newer Posts Home

Blogger Template by Blogcrowds