PATAH TUMBUH


PATAH TUMBUH
.
..di tangan Keris Mas bentuk cerpen Malayu menjadi bertambah kukuh dan matang, malah beliau berhasil memperluaskan kemungkinan-kemungkinan pada cerpen untuk menciptakan karya seni yang tinggi mutunya... Karya-karya Keris Mas mengungkapkan pengalaman orang Melayu dalam zaman-zaman yang genting melalui trauma-trauma lepas pendudukan Jepun, ancaman Bintang Tiga, perjuangan menentang Malayan Union dan seterusnya perjuangan mencapai kemerdekaan serta penyesuaian dengan perubahan-perubahan selepas merdeka... Seorang sasterawan penting ialah seniman yang meluaskan sempadan kemungkinan bahasanya. Keris Mas telah dicabar oleh alat ekspresinya dan beliau berhasil meluas dan menghaluskan bahasa kesusasteraan Melayu..
.
Di atas itu ialah sedikit cabutan dari Laporan Panel Anugerah Sastera Negara tentang Keris Mas - penulis antologi cerpen yang berjudul Patah Tumbuh ini.
.
Keris Mas adalah salah seorang Sasterawan Negara Malaysia. Nama asalnya Kamaludin bin Muhammad, dilahirkan di Kampung Ketari, daerah Bentung, Pahang; 10 Jun, 1992. Lulus Sekolah Melayu di Bentung, Sekolah Menengah Perguruan Tawalib dan Kolej Islam Kulliatul Muallimin di Sumatera Barat, Indonesia. Pelajarannya terhenti tatkala mengambil kursus Sijil Matrikulasi Universiti London tahun 1941 di Singapura pada bulan Disember 1941, kerana meletusnya Perang Jepun.
.
Keris Mas mulai menulis cerpen ketika berumur 16 tahun tatkala belajar di Sumatera. Cerpennya yang pertama di Malaya berjudul "Wasiat Orang Bangsawan" terbit di dalam majalah Suluh Malaya. Kuala Lumpur pada tahun 1946. Sebelum itu, beliau menerbitkan novelnya yang pertama berjudul "Pahlawan Rimba Malaya" pada tahun yang sama - tahun pertama tamatnya Perang Jepun. Sasterawan Negara ini masih menulis dan masih dianggap penting hingga sekarang.

DETIK-DETIK DIRI DI DAERAH DAIF
.
Detik-Detik Diri di Daerah Daif menyingkap pengalaman dan liku-liku hidup seorang Sasterawan Negara secara jujur, dan berterus terang. Sikap hidup masyarakat Banggul Derdap yang daif tetapi kaya dengan semangat bergotong-royong membawa suatu nostalgia yang manis dan mengharukan kepada penulis. Autobiografi ini adalah tunjang daya kreativiti Shahnon Ahmad di mana setiap hasil karyanya dapat disingkapkan dalam autobiografi ini.


TULANG-TULANG BERSERAKAN
.
Sejarah hitam telah melanda Persekutuan Tanah Melayu(Malaya) pada bulan Jun tahun 1948. Pertentangan politik yang tajam di antara pelbagai fahaman telah mengakibatkan perisytiharan Undang-undang Darurat seluruh negara. Pemerintah Inggeris mengambil kesempatan untuk terus menekan pemimpin-pemimpin politik yang progresif yang dianggap membahayakan pemerintahannya. Satu pasukan yang khusus untuk berjuang menentang tentera komunis di hutan-hutan telah dibentuk, yang terdiri daripada anggota polis yang kebanyakannya baru saja tamat latihan di Depot Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Pasukan ini dinamakan Jungle Squad(Polis Hutan) yang antara tugasnya meronda di hutan belukar mencari jejak gerila komunis. Sebahagian daripada suka duka pasukan polis hutan inilah yang dirakamkan oleh pengarangnya
.
- Usman Awang - berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai salah seorang daripada mereka dalam Tulang-tulang Berserakan.
.
.. mereka semua sama-sama menggadaikan jiwa dan saling menghalakan muncung senjata; yang satu mempertahankan keruntuhan, yang satu menegakkan keyakinan..

SIRU KAMBAM

"Siru Kambam"


Beliau menyifatkan dirinya adalah "Pejuang Bahasa Melayu"
SIRU KAMBAM
.
UTHAYA SANGKAR SB merupakan penulis muda berbakat. Kecenderungan beliau ialah menampilkan latar khusus Siru Kambam iaitu suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk. Kesemua cerpen dalam kumpulan ini memperlihatkan ketrampilan penulis muda ini menguasai mekanisme penulisan dengan baik dan ia diperteguh pula dengan gaya bahasa yang menarik: OTHMAN PUTIH


LIKU-LIKU PERTEMBUNGAN
.
Liku-liku Pertembungan mempertemukan pembaca dengan satu kisah sedih yang dilalui oleh seorang guru tua pada saat-saat akhir hayatnya. Sewaktu muda, pendekar Surip memang cukup terkenal dengan ilmu pendekarnya, tetapi apabila tua dan hidup sebatang kara, beliau disisihkan oleh masyarakat. Arus pembangunan telah meragut nilai-nilai murni yang ada dalam masyarakat Kampung Tualang Tujuh, sebaliknya diganti dengan nilai-nilai kebendaan dan memetingkan diri sendiri. Dan akhirnya guru tua itu tewas di tengah-tengah pertembungan dia generasi.

DAERAH ZENI

"Daerah Zeni"


"..Sasterawan tidak saja mencanai kan imaginasi, menggetus minda dan nilai manusia, menggarap misteri dan keindahan malah juga mengimbaukan lowongan sendu dan kesyahduan. Debar dan gelodak rasa sang sasterawan menyerlah kan dunia seribu cerita, dari pada percikan keriangan hinggalah yang gundah-gulana. Sasterawan mampu mengajak kita berkongsi pengalaman, juga memberikan kita keinsafan dan pengajaran selain adakalanya melalui dan mengkhayalkan.." A.SAMAD SAID



DAERAH ZENI
.
"..suatu daerah di mana perjuangan adalah suatu yang mesti kalau mahu terus hidup.."
.
Anak Lazri Meon, Zeni, semakin tertarik membaca novel karya Lazri, yang berkisar kepada perjuangan Hamdar menentang penjajah Inggeris. Zeni kagum dengan sikap Hamdar yang senang hidup terpisah daripada masyarakat, menghuni gerabak keretapi dan mengenang kembali perjuangan kawan-kawannya menentang penjajah Inggeris; Zeni merasa ditarik untuk menghayati dunia novel itu. Dia membandingkan hidup ayahnya dengan hidup Hamdar. Ada misteri dalam penceritaan, ada persamaan dalam perwatakan. Timbullah semangat untuk meladeni hidup cacat adiknya. Dia rela begitu daripada menyambut kedatangan bekas suaminya yang ingin rujuk semula.Zedi pula yang turut membaca novel ayahnya, tidak menyukai layanan baik yang diberi oleh kakak dan ayahnya. Dia mahu mereka menyelesaikan masalahnya sendiri dan biar dia menyelesaikan masalahnya sendiri. Dia cacat, tetapi dalam kecacatan itu dia mahu hidupnya ditentukan oleh dia sendiri bukan oleh simpati keluarganya. Dan novel ayahnya adalah sumber semangat yang tidak dapat dinilai.
.
..tudung cerek hijau yang sompek itu terlonjak berdetap-detap, menghembuskan wap dari sekeliling tudung dan muncungnya. Hamdar menguak-nguakkan bara di bawahnya. Kunang-kunang api melayang dan cepat menghilang.
.
"kopi, ya?" dia bertanya, mengangkat tudung cerek, menyaksikan wap air menerjah dan menghilang."Kopi? Ya,"jawab Raja Dabet, meletakkan gulungan tikar sembahyang atas rak-rak kecil di sisi dinding di bawah poster puteri raja India. Rebab menerpa masuk melompat-lompat segar mengejar rama-rama kemudian keluar. Seekor cicak terkejut, menggelecah lari, hilang di sebalik rak-rak..
.
..sambil memerhatikan bumbung keretapi yang menghilang, Zeni terbayangkan gerabak keretapi di dalam novel ayahnya pula. Kini lebih jelas gambaran itu. Dan bukan sekadar itu-malah dinampaknya semula katak, mengkarung, poster puteri raja India dan Hamdar. Ada kemungkinannya jika orang memuji keberkesanan karya deskriptif ayahnya. Kini disaksikannya benar-walaupun baru awal manuskrip itu dibacanya..


SIDANG SERANGGA
.
Sebuah novel bercorak satira mengisahkan pergolakan hidup masyarakat serangga yang terancam kehidupannya akibat penggunaan racun serangga yang digunakan manusia moden hari ini. Mereka bermesyuarat dan mengatur strategi untuk menyelamatkan kehidupan mereka yang terancam habitat dan kesihatan mereka. Di sebaliknya pula, manusia moden beranggapan serangan serangga itu mengancam kesihatan dan kehidupan mereka pula.
.
Serangga-serangga yang dipimpin oleh Prof. Dr. Mentadak mentadu berserta dengan serangga-seranga lain seperti lipas, cengkerik, nyamuk, kerengga, lalat dan sebagainya mengintip dan merakamkan pergerakkan manusia di ibu kota untuk menewaskan mereka. Ketika mereka melakukan kerja-kerja pengintipan itulah pelbagai rahsia dan skandal manusia kota di ketahui dan dirakamkan untuk maklumat ketua mereka. Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
.
Sesungguhnya novel Sidang Serangga ini memperlihatkan kepekaan dan keterampilan Pak Sako terhadap kehidupan manusia dan alam serangga di sekelilingya. Alam serangga yang tidak pernah terfikir oleh sasterawan lain berjaya digarapnya menjadi sebuah novel yang menarik untuk dibaca dan dihayati.

HUJAN HITAM


HUJAN HITAM
.
Dianugerahkan Hadiah Noma
.
Setengah-setengah subjek terlalu besar bagi seni...terlalu jauh untuk dijangkau oleh pemikiran manusia. Kebanyakan penulis mempunyai kelicikan yang membolehkan mereka menghindarkannya, atau hanya sekadar menyentuhnya sedikit sahaja... Namun, novel yang ditulis oleh seorang penulis Jepun yang sudah berumur ini telah menukarkan Hiroshima menjadi hasil karya seni yang sesungguhnya tidak sentimental, begitu kritikal dan tidak langsung mempunyai sensasi, memberitahu kita jenis manusia apakah kita dan segala kekejaman yang kita turut terlibat, dan barangkali memberi kita harapan...
.
"Saya tidak menyangka ini boleh berlaku, tetapi isi buku ini begitu berat bagi saya. Saya tak suka menggunakan perkataan seperti karya agung, tetapi jika saya memikirkan katalah sepuluh buah novel terbaik yang ditulis dalam jangka dua puluh lima tahun yang lalu. Saya harus memikirkan novel ini." - C.P. SNOW.
.
"Buku yang paling berjaya pernah ditulis untuk menceritakan tentang satu kekejaman yang dilakukan oleh sekumpulan manusia terhadap sekumpulan yang lain."- Julian Symons, Sunday Times.

Newer Posts Older Posts Home

Blogger Template by Blogcrowds