BALADA PYANHABIB


BALADA PYANHABIB

1973: Saya bercita-cita menjadi penyair, bercita-cinta menjadi orang yang menulis puisi. Ini cita-cita di usia 15 tahun saya, cita-cita zaman saya berkongsi bergilir-gilir membaca akhbar Utusan Zaman bertulisan jawi di kedai runcit di kampung, selain berebut helaian muka surat untuk membaca komik Tarzan dan Mandrake juga Nancy.

Tanpa 'sekolah dan buku' saya memasang niat, 'puisi karya sendiri disiarkan akhbar - walau hanya sebuah - untuk kepuasan seumur hidup'. Melihat-membaca puisi-puisi yang menempel dalam ruangan cerpen dalam akhbar bertulisan jawi itu mendorong saya bercita-cita menjadi penyair.

1975: Untuk menjadi penyair dan menulis puisi tidak semestinya datang ke Kuala Lumpur, tetapi saya telah datang ke Kuala Lumpur untuk menulis puisi dan menjadi penyair, hah ha! Dan, Anak Alam telah mengajar saya bagaimana menikmati hidup yang terbentang ini dah saya menikmatinya, sungguh.

Lebih nikmat apabila sebuah puisi pendek tanpa tajuk yang saya tulis pada tahun 1975 dan menaipnya menggunakan mesin taip Olivetti milik A. Latiff Mohidin di kamar Latiff di Anak Alam pada 1976, disiarkan oleh Usman Awang (SN, Datuk) dalam Dewan Sastera pada tahun 80-an.

2012: 'Salam brother, apa khabar? Saya ada hajat besar, mohon brother bagi koleksi sajak brother, ITBM terbitkan, boleh ya brother, please ... Boleh ya!' Saya dikejutkan mesej daripada Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, pada 26 Januari, pukul 21:21:02.

Ini adalah tahun ketiga Mohd. Khair meminta puisi-puisi saya untuk ITBM terbitkan. Saya berat hati, tetapi saya rasa terberhutang dengan beliau yang rupanya telah menjejaki saya sejak pembacaan puisi solo saya di Auditorium DBKL tahun 1989, sejak saya telahpun menerbitkan buku puisi secara indie dan ITNM (ITBM) belum lagi wujud.

'Steady ya brother, kongsilah rasa brother demi kemanusiaan, kita bagi Sinaganaga buat reka bentuk (dan tambah rezeki sikit-sikit) ... terima kasih brother atas kesudian mempertimbangkan idea ini. Ingat brother, satu manusia satu suara!' - Khair, 26 Januari 2012, pukul 21:57:55.

Selepas hampir sebulan menyelongkar semula helaian kertas sajak yang tersorok tersadai di sana sini, maka, inilah sebahagian sajak yang ditemui, dan inilah hasilnya. - Pyanhabib

* 178 halaman

0 saya bertanya..:

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds