KOLEKSI TERPILIH SASTERWAN NEGARA
A.SAMAD SAID

Satu himpunan karya pelbagai genre seorang seniman biasanya mudah menjadi sebuah rimba kehidupan yang serentak mengandungi keindahan dan misteri. Himpunan karya itu terkadang menyembunyikan sebahagian pengamatan kehidupannya, terkadang menyerlahkan idealisme dan keinginan batinnya, dan terkadang menyatakan sikap hidup atau tentangannya terhadap kekerasan, kekasaran dan kepincangan di dunia.

Himpunan karya itu juga boleh menjadi sebuah denai rahsia, pernyataan seninya. Mengapa pada satu ketika cerpen, mengapa ada ketikanya dia mengghairahi drama, sedang ada ketika pula novel yang lebih diunggul; atau mengapa dalam warkah atau diarinya, peribadinya juga masih berahsia, padahal rakaman itu dibangunkan daripada perhubungan dan pencarian tulen dalam kehidupan dan hariannya.

Peluang seperti inilah ternyata sempat diberikan oleh himpunan-himpunan karya pilihan pelbagai genre A. Samad Said ini. Tidak sahaja ia menyerlahkan kemampuan Samad menguasai pelbagai genre sastera, malah kepada para penelaah, di serlahkan juga imbasan sebab-munasabab pemilihan genre-genre itu.

Seimbas lalu terbukti Samad menyenangi novel daripada cerpen kerana seperti yang pernah diakuinya, "Novel memberikan dunia kehidupan yang luas." Dan akan jelas jika ingin diperiksa dan dipertanya sejarah masa lalu dan kekalutan masa kini, Samad gemar memilih genre puisi seperti yang terbukti dalam "Benih Harapan", dan "Balada Hilang Peta".

Dapat dikesan Samad berfalsafah dalam dramanya Wira Bukit, bercerita dalam puisinya Balada Hilang Peta, berahsia dalam novelnya Hujan Pagi, dan terbuka dalam warkah dan diarinya Warkah Eropah dan Diari Kembara. Kerja seninya tidak juga terkongkong pada idea dan cita- cita. Daripada karya kepada karya terkesan pengamatannya, terpancar visinya dan terbukti kesungguhannya. Daripada cerpen dan pusi yang mengawali kerja seninya kepada novel dan esei yang membina kematanggannya, Samad tampak berkisar daripada masalah kepada masalah, daripada teknik kepada teknik, daripada eksperimen kepada eksperimen, beralih daripada keraguan kepada ketegasan, daripada kegayahan kepada kestabilan.

Keragaman upayanya itu, dengan demikian, memungkinkan kita melihat Samad serentak sebagai seorang manusia biasa yang dipunyai keluarganya dan Samad sebagai seorang seniman yang diperiksa dan diramahi umum. Dengan begitu wajarlah himpunan karya pelbagai genre ini dimanfaatkan sebagai gerbang kecil untul memasuki dunia seni seorang sasterawan yang selama empat dekad secara teguh, tekun dan konsisten, turut memperkaya saastera tanah air.

"..Kepada setiap penyair gundah, daun gugur pun sentiasa indah.." A.Samad Said

*504 halaman

0 saya bertanya..:

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds